Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah rahmatNya seluruh umat Islam di Malaysia masih berpeluang untuk menyambut kehadiran bulan Ramadhan Al Mubarak bagi tahun 2024 Masihi bersamaan 1445 Hijrah.
Editor yakin bahawa ketibaan bulan Ramadan merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam yang ada di seluruh dunia.
Fadhilat Dan Kelebihan Puasa Bulan Ramadhan
Umum sedia maklum bahawa fadhilat dan kelebihan yang ada dalam bulan Ramadan banyak disampaikan berdasarkan firman ALLAH SWT dan hadis sahih Rasulullah SAW membuatkan seluruh umat Islam yang ada di muka bumi ini tidak sabar mencari serta mendapatkan rahmat dan berkatNya.
Puasa Tanda Ketaatan
Puasa adalah satu tanda ketaatan kita kepada ALLAH. Puasa juga mengajar kita supaya beramanah terhadap diri sendiri, mendidik jiwa, hati dan juga segala pancaindera.
Waktu Berniat Dan Lafaz Niat Puasa Bulan Ramadhan
Bersempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, berikut editor sertakan maklumat lafaz niat puasa Ramadan iaitu niat secara harian atau sekali gus (sebulan / sepenuhnya) mengikut bacaan rumi dan arab yang tepat serta sahih.
- Mengikut Mazhab Al Syafi’i, wajib berniat pada setiap malam. Akan tetapi, bagi orang yang selalu lupa atau takut lupa berniat, dia boleh bertaklid kepada pendapat Imam Malik (Mazhab Al-Maliki) dengan berniat berpuasa sebulan pada malam awal bulan Ramadan.
- Sungguhpun begitu, dalam Mazhab Syafie dia tetap wajib berniat pada tiap-tiap malam sepanjang Ramadan.
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu solat fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.
Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى |
Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala |
Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala |
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى |
Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘e, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala |
Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala |
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين |
Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa‘alaa rizqika afthartu birahmatika yaa arhamarroohimiin |
Ya Allah, bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman, dengan rezeki Engkau aku berbuka, dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang |