Cara Claim Insurans Kerosakan Kereta Kecuaian Sendiri

Keterangan Artikel: Cara Claim Insurans Kerosakan Kereta Kecuaian Sendiri. Panduan & Cara Buat Tuntutan Insuran Kereta Rosak Atas Kesalahan Sendiri Yang Menyebabkan Kemalangan.

Kemalangan kecil di jalan raya ataupun dalam kawasan kediaman sendiri boleh berlaku tanpa diduga dan kadang-kadang, ia berpunca daripada kecuaian diri. Namun, tahukah anda bahawa walaupun kerosakan tersebut tidak melibatkan pihak ketiga, anda masih mempunyai hak untuk membuat tuntutan insurans bagi kos baik pulih kereta anda? Menerusi artikel ini, kami akan menerangkan bagaimana anda boleh memanfaatkan polisi insurans untuk mendapatkan kembali kerugian anda, serta langkah-langkah yang perlu diambil setelah terjadinya kemalangan tersebut.

Kemalangan kecil tidak semestinya berakhir dengan kerugian yang besar. Dengan pengetahuan yang tepat mengenai polisi insurans dan langkah-langkah yang perlu diambil, anda boleh membuat tuntutan insurans untuk kos baik pulih kereta anda. Namun, adalah penting untuk menilai setiap situasi dengan bijak untuk memastikan anda tidak kehilangan manfaat yang telah anda kumpulkan melalui No-Claim Discount. Pastikan anda sentiasa peka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di jalan raya.

Claim Insuran Kereta Rosak: Polisi Insurans Diperlukan

Perkara utama yang perlu anda ketahui sebelum membuat tuntutan adalah bahawa anda mestilah memiliki polisi insurans kereta jenis komprehensif, atau lebih dikenali sebagai insurans First Party. Dengan polisi ini, anda boleh membuat tuntutan di bawah kategori kerosakan sendiri (Own Damage Claim / OD). Namun, penting untuk diingat bahawa membuat tuntutan ini akan memberi kesan kepada kadar No-Claim Discount (NCD) anda.

Sebagai contoh, jika kadar NCD anda ketika kemalangan adalah 30%, ia akan kembali kepada 0% pada tahun berikutnya setelah anda membuat tuntutan. Ini bermakna, anda berpotensi kehilangan potongan harga apabila anda memperbaharui insurans kereta anda pada masa akan datang. Oleh itu, sebelum membuat keputusan untuk menuntut, adalah bijak untuk menilai kos baik pulih kereta anda. Sekiranya kos tersebut lebih rendah daripada potensi kehilangan NCD, anda mungkin mahu mempertimbangkan untuk membayar sendiri kos baik pulih tersebut.

Definisi Kemalangan Kecil

Kemalangan kecil atas kecuaian sendiri merujuk kepada contoh situasi di mana anda secara tidak sengaja melanggar objek seperti pagar atau tembok rumah anda sendiri, yang menyebabkan kerosakan pada kereta. Penting untuk diingat bahawa keadaan anda ketika itu mestilah normal, tanpa sebarang pengaruh alkohol atau dadah.

Langkah-Langkah Membuat Tuntutan Insurans

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil selepas mengalami kemalangan kecil:

  1. Dokumentasikan Kejadian: Ambil gambar kerosakan kereta dan lokasi kejadian dengan jelas. Pastikan nombor plat kereta dan geran (VOC) juga dapat dilihat dalam gambar tersebut. Ini penting untuk laporan polis yang akan dibuat.
  2. Buat Laporan Polis: Segera buat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan. Dalam laporan, nyatakan dengan jelas punca kemalangan. Pihak polis mungkin akan bertanya beberapa soalan dan anda mungkin dikenakan kompaun bergantung kepada penilaian mereka.
  3. Bawa Kereta ke Balai Polis: Jika kereta anda masih boleh dipandu, sebaiknya bawa kereta tersebut bersama anda ketika membuat laporan polis.
  4. Hubungi Pihak Insurans: Dalam tempoh tujuh hari selepas kemalangan, hubungi syarikat insurans anda untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut. Tanyakan prosedur tuntutan dan senarai bengkel panel yang boleh anda gunakan. Jika kereta tidak boleh dipandu, anda boleh meminta bantuan towing dari pihak insurans.
  5. Sediakan Dokumen Diperlukan: Kumpulkan salinan dokumen yang diperlukan seperti laporan polis, geran (VOC) kereta, polisi insurans (Cover Note), kad pengenalan dan lesen memandu. Dokumen-dokumen ini perlu diserahkan kepada pusat servis atau bengkel panel yang ditetapkan.
  6. Tunggu Makluman dari Pihak Insurans: Setelah semua dokumen diserahkan, pihak insurans akan menghubungi anda dalam beberapa hari untuk mengesahkan tuntutan anda.

Apakah Betterment Dalam Insurans

Satu lagi aspek penting yang perlu anda ketahui adalah mengenai ‘Betterment’. Ini merujuk kepada kos tambahan yang perlu anda tanggung jika anda memilih alat ganti original untuk kereta yang berusia lebih dari 5 tahun. Dalam situasi ini, walaupun anda membuat tuntutan, sebahagian daripada kos baik pulih akan ditanggung oleh anda.

Kadar Peratus Tambahan (Betterment)
Usia KeretaKadar Caj Betterment
Bawah 5 tahun0%
5 Tahun15%
6 Tahun20%
7 Tahun25%
8 Tahun30%
9 Tahun35%
10 Tahun & Keatas40%

Keterangan Betterment

Merujuk kepada Betterment diatas, kereta baru bawah 5 tahun tiada apa-apa cas tambahan yang dikenakan kepada anda, ia akan ditanggung sepenuhnya (100%) oleh syarikat insurans. Bagi kereta melebihi 5 tahun dan keatas yang memilih untuk menukar alat ganti original anda perlu membuat bayaran tambahan mengikut kadar peratus (%) seperti di atas.

Sebagai contoh, jumlah alat ganti original yang di tukar termasuk kos upah berjumlah RM5,000 dan kereta anda telah berusia 10 tahun atau lebih. Anda perlu mengeluarkan kos tambahan untuk dibayar kepada pusat servis atau bengkel panel sebanyak 40% dari kos keseluruhan balik pulih tersebut. Selebihnya 60% lagi akan ditanggung oleh pihak insuran.

Sekiranya anda mahu pihak insurans menanggung sepenuhnya kos balik pulih, anda perlu bersetuju menukar alat ganti jenis OEM yang bukan Original (Tulen) selain menghantar kereta anda di bengkel panel dan bukannya di pusat servis rasmi (Official) jenama kereta anda.

Perkara-perkara yang dinyatakan adalah berdasarkan pengalaman editor sendiri. Nampak proses tuntutan sedikit merumitkan selain memerlukan masa serta terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira. Jadi, fikir dahulu dan menilai adakah berbaloi membuat tuntutan insurans ataupun lebih baik baiki kerosakan kereta tersebut dengan duit sendiri.

Kongsi Artikel Di: